global

Israel terus angkuh

Oleh Agensi

Baitulmaqdis: Israel tidak akan menarik balik pengesan logam yang dipasang di luar Masjid Al-Aqsa walaupun pemasangannya mencetuskan konfrontasi berdarah paling buruk dengan penduduk Palestin sejak beberapa tahun lalu.

Pegawai rejim itu bagaimanapun, berkata, ia mungkin mengurangkan penggunaannya.

Dengan jeneral Israel memberi amaran kemungkinan keganasan akan merebak, Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu dilapor menimbang alternatif menggantikan pengesan logam yang dipasang selepas dua polis rejim itu ditembak mati pada 14 Julai lalu.

Bagaimanapun, kerajaan Netanyahu bimbang langkah itu dilihat sebagai tunduk kepada tekanan penduduk Palestin.

“Pengesan logam itu akan kekal. Jika mereka tidak mahu memasuki masjid itu, biarkan mereka tidak memasukinya,” kata Tzachi Hanegbi, Menteri Pembangunan Serantau yang juga anggota kanan Parti Likud, kepada radio tentera Israel.

Penduduk Palestin yang membantah tindakan Israel itu enggan melalui pengesan logam yang dipasang di laluan menuju ke Masjid Al-Aqsa, sebaliknya menunaikan solat di luar pekarangannya.

Mereka menganggap tindakan memasang pengesan logam itu sebagai helah Israel untuk meningkatkan penguasaan Yahudi terhadap masjid ketiga paling suci umat Islam itu.

Setakat ini lapan orang terbunuh kesan daripada pemasangan pengesan logam itu.

Dalam wawancara itu, Erdan berkata, Israel mungkin menarik balik pemasangan logam berkenaan dengan alternatif yang masih dikaji. Ini termasuk kemungkinan menambah jumlah polis di pintu masuk dan memasang kamera CCTV dengan teknologi pengecaman muka.

Pihak berkuasa Al-Aqsa berkata, mereka akan terus menentang langkah baru yang dikuatkuasakan Israel.

“Kami ingin menegaskan bantahan kami terhadap pintu elektronik dan semua langkah yang diambil oleh penjajah (Israel),” kata mufti besar Palestin, ketua hakim Palestin dan yayasan wakaf yang ditaja Jordan dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 12:30pm
d