global

25 korban letupan tengah pasar

Oleh AFP

SEKURANG-KURANGNYA 25 terbunuh, sebahagian besarnya anggota polis dalam letupan dipercayai bom di sebuah pasar di Lahore, Pakistan, hari ini.

Jurucakap polis di Lahore, Syed Hammad Shah, berkata 25 terbunuh dan 40 lagi cedera yang berlaku ketika ramai anggota polis berada di pasar berkenaan bagi membanteras peniaga tanpa lesen.

Dalam sidang media, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Chaudhry Nisar Ali Khan, berkata ramai daripada mangsa adalah anggota polis namun belum dapat memberi jumlah yang tepat.

Pegawai kanan polis, Haider Ashraf, memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 10 anggota polis antara yang terbunuh.

Menurutnya, letupan itu kelihatan mensasar pasar yang ketika kejadian sesak dengan orang ramai.

Polis mengesyaki ia adalah serangan bom nekad namun masih menyiasat punca letupan berkenaan.

Kali terakhir serangan bom di Lahore berlaku Mac tahun lalu, yang membunuh 75 orang dan ratusan lagi cedera dalam serangan yang mensasarkan penganut Kristian menyambut Easter di satu taman.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 10:42pm
d