global

Titik panas semakin meningkat di Indonesia

Oleh Agensi

Jakarta: Cuaca panas akibat musim kemarau dan aktiviti membersihkan hutan yang tidak terkawal menyebabkan titik panas yang berpunca daripada kebakaran hutan dan belukar di Indonesia terus meningkat.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memberitahu, jumlah titik panas yang dikesan satelit semakin meningkat sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, pada Khamis lalu sebanyak 173 titik panas dikesan sebelum meningkat kepada 239 semalam.

Katanya, minggu lalu, titik panas yang menunjukkan berlakunya kebakaran hutan dan belukar banyak dikesan di wilayah Kalimantan Barat, Aceh dan Nusa Tenggara Timur.

“Titik panas yang paling banyak dikesan adalah di Kalimantan Barat iaitu 126 dengan kebanyakan kebakaran hutan dan belukar masih belum dapat dipadamkan,” katanya.

Sutopo memberitahu, aktiviti membersihkan kawasan ladang dengan cara membakar antara punca kebakaran hutan dan belukar di wilayah itu.

“Walaupun diharamkan, diberi amaran dan rondaan dilakukan di setiap pelusuk kawasan, realitinya, aktiviti ini masih berleluasa,” jelasnya.

Indonesia melancarkan kempen menghentikan kebakaran hutan dan belukar daripada berlaku bagi mengelak kejadian jerebu tercetus semula.

Hampir setiap tahun Indonesia termasuk negara jiran seperti Malaysia dan Singapura dilanda jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di negara itu.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 6:49am
d