global

Jemaah haji Iran tiba di Arab Saudi

Oleh Reuters

Beirut: Kumpulan pertama jemaah haji Iran tiba di Arab Saudi semalam untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Mereka adalah sebahagian daripada 90,000 rakyat Iran yang akan menunaikan ibadah itu tahun ini selepas Teheran memulaukannya tahun lalu berikutan ketegangan dalam hubungan dengan Arab Saudi.

Kira-kira 800 jemaah dilapor berlepas dengan tiga penerbangan ke Madinah kelmarin, kata pengarah haji Pertubuhan Haji dan Umrah Iran, Nasrollah Rafahmand.

Bercakap kepada bakal jemaah kelmarin, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, rakyat Iran tidak dapat melupakan bencana yang berlaku pada musim haji 2015 dan menggesa pihak berkuasa Saudi menjamin keselamatan semua jemaah.

Iran memulaukan musim haji tahun lalu selepas ratusan jemaah, kebanyakannya rakyat negara itu, mati dalam kejadian bersesak-sesak pada 2015 dan selepas berlaku sengketa diplomatik antara kedua-dua negara yang berebut kuasa dan pengaruh di rantau berkenaan.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 7:29am
d