global

Rancang dari penjara

Oleh AFP

Jakarta: Seorang banduan yang menjalani hukuman penjara 15 tahun di sebuah penjara kawalan maksimum disyaki perancang utama untuk menyeludup 1.2 juta pil ecstasy ke Indonesia, kata polis semalam.

Penyeludupan itu berjaya digagalkan pihak polis apabila dua suspek ditangkap, manakala seorang lagi mati ditembak.

Ketua polis Indonesia, Tito Karnavian berkata, kedua-dua suspek yang ditangkap itu berdepan hukuman mati jika didapati bersalah cuba menyeludup dadah dari Belanda.

“Perancang utama penyeludupan ini adalah seorang banduan yang menjalani hukuman penjara 15 tahun di penjara Nusakambangan juga berkaitan kesalahan dadah.

“Perancang ini bakal didakwa dan berdepan hukuman mati sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Menurutnya, polis sedang menyiasat bagaimana banduan berkenaan boleh menjadi perancang dan mengarahkan operasi penyeludupan dadah berkenaan.

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati sebelum ini memberi amaran, Indonesia kini menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah besar kerana pasarannya yang luas dan lumayan.

Polis, agensi antidadah kebangsaan dan kastam menyerbu sebuah gudang di wilayah Banten pada 21 Julai lalu selepas menyiasat sindiket berkenaan selama dua bulan.

Ratusan ribu pil ecstasy dirampas dan polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang memberitahu dadah itu diseludup dari Belanda menggunakan laluan laut.

Suspek mendedahkan dalang utama penyeludupan itu adalah seorang banduan.

Tiga hari selepas itu, polis menahan seorang lagi suspek di Tangerang dan merampas 56 beg pil ecstasy, menjadikan jumlah keseluruhan dadah itu lebih 1.2 juta.

Pada 27 Julai, polis menembak mati seorang lelaki yang melawan ketika cuba ditangkap dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat dua kilogram.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 9:20am
d