global

Si kudung bertanggungjawab

Oleh Agensi

Beijing: Seorang bapa tidak menjadikan keadaannya tanpa kedua-dua tangan sebagai alasan untuk tidak bekerja.

Malah, dia sanggup menjadi penghantar barang untuk menyara keluarganya.

Zhao Haifeng kehilangan kedua-dua tangannya dari paras bahu akibat kemalangan menggunakan barangan elektrik ketika dia berusia tiga tahun.

Kerana tiada tangan, dia sukar mendapat pekerjaan tetapi sejak beberapa tahun lalu Zhao berjaya menyara keluarganya dengan menjadi penghantar barang.

“Saya bangun jam 5.30 pagi setiap hari dan menghantar kira-kira 100 bungkusan sehari,” katanya.

Dalam rakaman dimuat naik Pear Video, Zhao dilihat menulis setiap alamat untuk penghantaran sebelum membungkus dan menghantar barangan itu.

Malah dia menunggang motosikal khas yang tidak memerlukan dia menggunakan tangannya.

“Saya percaya apa saja boleh dilakukan, tiada yang mustahil asalkan kita mencuba sebaiknya.

“Cuma saya terpaksa berusaha lebih keras berbanding orang normal,” katanya.

Isterinya - yang mempunyai masalah berjalan kerana menghidap polio ketika masih kecil - turut menemani Zhao membuat penghantaran.

Menurut Zhao, dia meraih kira-kira 2,000 hingga 3,000 yuan (RM1,300 hingga RM1,900) sebulan, cukup untuk memastikan keluarganya tidak kelaparan.

“Saya cuma mahu menyara keluarga dan memastikan anak kami mendapat pendidikan terbaik untuk masa depannya,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 8:52am
d