global

Russia kecam sekatan AS

Oleh AFP

Moscow: Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev menyelar sekatan terbaru Amerika Syarikat (AS) dan menyifatkannya sebagai perang ekonomi sepenuhnya terhadap Moscow.

Medvedev berkata, sekatan itu menunjukkan kelemahan besar Presiden Donald Trump dalam cara yang paling memalukan.

Trump dengan berat hati menandatangani sekatan terbaru itu kelmarin, tunduk kepada tekanan dalaman selepas Rumah Putih gagal menghalang rang undang-undang berkenaan.

Medvedev memberi amaran, langkah itu mempunyai kesannya dan berkata, “Ia menamatkan harapan untuk membaiki hubungan kami dengan pentadbiran baru AS.”

“Kedua, ia satu pengisytiharan perang ekonomi sepenuhnya dengan Russia,” katanya di laman Facebook miliknya.

Katanya, pentadbiran Trump menunjukkan kelemahan besar dengan menyerahkan kuasa eksekutif kepada Kongres dengan cara yang paling memalukan.

Trump menandatangani rang undang-undang itu secara tertutup dan perasaan kesalnya jelas dengan menyatakan rang undang-undang itu sebagai ‘jelas cacat’.

“Bagi meluluskan rang undang-undang ini, Kongres memasukkan beberapa syarat yang jelas melanggar Perlembagaan,” katanya, termasuk sekatan terhadap kebebasan presiden berunding dengan Russia.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 8:47am
d