global

'Tembak pembakar'

Oleh Reuters

Jakarta: Seorang pegawai tentera di wilayah Jambi semalam berkata, dia sudah mengeluarkan arahan supaya sesiapa yang sengaja menyebabkan kebakaran hutan ditembak, dalam pada pihak berkuasa berusaha mengawal api yang mengakibatkan pencemaran udara di kawasan itu.

Lima wilayah Indonesia mengisytiharkan darurat akibat kebakaran hutan, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dengan titik panas dilihat semakin meningkat di banyak kawasan dalam tempoh seminggu lalu.

BNPB kini bekerjasama dengan pelbagai jabatan kerajaan serta tentera untuk mengawal kebakaran.

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa di Sumatera Selatan turut mengeluarkan arahan sama untuk menembak pelaku.

Komander pasukan petugas tentera di Jambi, Kolonel Refrizal berkata: “Arahan ini bagi menekankan keseriusan kami kepada orang ramai yang sudah berulang kali diberi amaran. Ia bagi menunjukkan ketegasan kami dalam isu ini.”

Dia menegaskan perintah itu akan dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Sementara itu, jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata di Twitter, pasukan petugas di Jambi sedang gigih memadamkan kebakaran di kawasan seluas 10 hektar.

“Pihak berkuasa juga menemui satu kawasan di Jambi yang sengaja dibakar pemiliknya,” katanya.

Menurut BPNB, kawasan titik panas meningkat kepada 239 pada 30 Julai lalu, berbanding 173 cuma tiga hari sebelumnya.

Kebanyakannya dilihat di Kalimantan dengan beberapa yang lain di Sumatera serta Jawa.

Agensi berkenaan sebelum ini memberi amaran mengenai ancaman peningkatan kebakaran hutan susulan musim panas pada September ini.

Indonesia kerap mengalami kebakaran hutan yang turut mengakibatkan jerebu di negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.

Pada 2015, negara itu melihat kebakaran hutan paling buruk terutama di Sumatera serta Kalimantan.

Bank Dunia memetik data kerajaan berkata, 2.6 juta hektar tanah di Indonesia dibakar antara Jun hingga Oktober 2015, menyebabkan kerugian dianggarkan AS$16 bilion (RM68 bilion).

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 2:53am
d