global

Korea Utara enggan tunduk

Oleh AFP

Seoul: Korea Utara semalam mengecam sekatan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadapnya berkait dengan program senjata nuklearnya dan menegaskan ia tidak akan berunding mengenai perkara itu selagi dibelenggu ancaman Amerika Syarikat (AS).

“Sekatan yang diputuskan Sabtu lalu ialah ‘pencabulan melampau terhadap kedaulatan kami,’ menurut kenyataan pihak berkuasa negara itu yang disiarkan agensi berita Korean Central News Agency.

“Kami tidak akan berunding mengenai isu nuklear. Ia senjaya untuk kami mempertahankan diri dan kami juga tidak akan berhenti memperkukuh kekuatan nuklear kami,” menurut kenyataan itu lagi.

Majlis Keselamatan PBB meluluskan sekatan baru terhadap Pyongyang Sabtu lalu kerana program senjatanya.

Sekatan itu termasuk melarang pengeksportan arang batu, besi dan bijih besi, plumbum serta bijih plumbum selain makanan laut dari negara itu.

Sekatan itu diluluskan sebulat suara termasuk oleh China - satu-satunya sekutu dan rakan ekonomi Pyongyang - serta Russia.

Keadaan semakin tegang selepas Korea Utara melancarkan dua ujian peluru berpandu antara benua bulan lalu seterusnya mencetuskan kebimbangan dunia terhadap keupayaan persenjataannya.

Pyongyang turut mengancam memastikan AS - yang merangka ketetapan sekatan terbaru itu - ‘membayar harga tinggi bagi jenayah dilakukannya.

“AS percaya ia akan tetap selamat kerana tanah besarnya dijarakkan dengan lautan luas. Namun mereka silap.

“Negara lain yang bersekongkol dengan AS untuk menyokong resolusi itu juga akan dipertanggungjawabkan” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar China Wang Yi berkata, negaranya 100 peratus komited untuk memastikan sekatan terbaru PBB dilaksanakan ke atas Korea Utara.

“China pasti akan melaksanakan resolusi baru itu, 100 peratus dengan sepenuhnya dan tegas,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 9:13am
d