global

BPKH harap tandingi Tabung Haji

Oleh Agensi

Jakarta: Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH) yang baru ditubuhkan pihak berkuasa Indonesia berharap untuk menandingi kejayaan Lembaga Tabung Haji Malaysia yang ditubuhkan pada 1963.

Pengerusi Lembaga Penasihat BPKH, Yuslam Fauzi berkata, badan berkenaan akan menguruskan wang berjumlah 993 trilion rupiah (RM319 bilion) yang disimpan oleh 3.4 juta penduduk negara itu sebagai deposit untuk menunaikan Rukun Islam Kelima dengan melaburkannya dalam perniagaan patuh syariah.

Menurutnya, agensi itu berharap akan menjadi pengurus tabung haji terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun menerusi pelbagai pelaburan dengan faedah pulangan antara lapan dan 10 peratus setahun.

“Buat masa ini dana itu hanya dilabur dalam bond, sukuk dan sekuriti kerajaan dengan pulangan antara lima dan enam peratus. Kami yakin akan dapat menandingi Tabung Haji Malaysia dalam masa 10 tahun sahaja,” kata Yuslam di satu majlis di Jakarta baru-baru ini.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) minggu lalu merasmikan lembaga eksekutif BPKH yang ditugaskan untuk mengambil alih pengurusan tabung haji dari Kementerian Hal Ehwal Agama.

Agensi itu dijangka lebih berupaya untuk menguruskan dana dengan memilih melabur dalam perniagaan menguntungkan dan patuh syariah.

Lebih 200,000 rakyat Indonesia layak menunaikan haji setiap tahun.

Bagaimanapun, senarai menanti untuk dipilih ialah antara 15 dan 20 tahun. - Agensi

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 9:21am
d