global

Gadai nyawa untuk swafoto

Oleh Agensi

SEKUMPULAN anak muda ‘menceroboh’ Menara Zifeng di Nanjing, China, setinggi 89 tingkat dan merakam swafoto mereka berpaut pada tiang di puncak menara itu.

Menara Zifeng setinggi 450 meter ialah bangunan keenam tertinggi China dan ke-14 tertinggi dunia.

Menurut South China Morning Post (SCMP), gambar dan video kumpulan itu mula tular di internet sejak hujung minggu lalu.

Seorang anggota kumpulan itu, Tong Hu, berkata mereka bertuah kerana berjaya berada di puncak menara itu kerana biasanya dihalang pengawal keselamatan yang bimbang orang ramai membunuh diri atau berlaku kemalangan.

Menurutnya, dia pernah melakukan aksi ngeri itu di bangunan pencakar langit di Chongqing dan kumpulannya tidak menggunakan sebarang langkah keselamatan, termasuk tali ketika memanjat dan merakam gambar.

“Kami sudah biasa seperti ini,” katanya.

Menurut SCMP, pihak keselamatan bangunan itu menyatakan mereka tidak tahu bagaimana kumpulan berkenaan dapat naik ke puncak kerana pintu ke bumbung sentiasa berkunci.

Menurut polis, orang ramai yang baik ke bumbung bangunan tanpa kebenaran boleh didakwa.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 4:13pm
d