global

Israel bina tembok bawah tanah

Oleh Agensi

Baitulmaqdis: Israel semalam berkata, ia akan meneruskan projek membina tembok gergasi bawah tanah di sekitar Semenanjung Gaza untuk menghalang terowong yang boleh digunakan untuk melancarkan serangan terhadapnya.

Projek itu mula dirancang selepas rejim Israel dikecam berhubung penggunaan terowong oleh Hamas dalam Perang Gaza 2014.

Siasatan dilakukan awal tahun ini mendakwa Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan tentera tidak bersedia untuk berdepan ancaman itu.

“Kami akan mempercepatkan pembinaan tembok bawah tanah itu pada beberapa bulan akan datang. Kami berharap pembinaan itu siap dalam masa dua tahun,” kata ketua tentera wilayah selatan Israel, Mejar Jeneral Eyal Zamir kepada wartawan semalam.

Menurut laporan radio tentera Israel, tembok itu akan dibina sepanjang 64 kilometer di samping dilengkapi penderia.

Ia juga dijangka setinggi enam meter dan 40 meter dalam dengan kos pembinaan mencecah AS$834 juta (RM3.6 bilion).

Selain itu, projek itu juga akan termasuk pembinaan tembok luar pantai bagi menghalang serangan komando dari laut.

Menteri Pembinaan yang juga bekas panglima tentera, Yoav Galant berkata, tembok itu akan dibina di wilayah Israel yang selari dengan pagar sempadan yang mengepung wilayah Palestin yang ditadbir Hamas.

Galant turut memberi amaran kepada Hamas supaya tidak cuba mengganggu pembinaan tembok itu.

Israel dan Hamas berperang sebanyak tiga kali sejak pergerakan itu menguasai Semenanjung Gaza pada 2007.

Israel membunuh 2,251 rakyat Palestin pada perang 2014 yang turut menyebabkan kira-kira 100,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 10:01am
d