global

Nenek 91 tahun genggam ijazah

Oleh Agensi

Bangkok: Impian seorang nenek berusia 91 tahun untuk menggenggam segulung ijazah tercapai selepas berjaya menamatkan pengajian selama lebih tahun.

Kimlan Jinakul menerima ijazah dalam satu majlis konvokesyen kelmarin bersama ribuan lagi pelajar yang jauh lebih muda.

Wanita itu berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang kajian pembangunan manusia dan keluarga di Universiti Terbuka Sukhothai Thammathirat di Bangkok.

“Tidak pernah terlewat untuk belajar, fikiran saya selalu terdetik untuk belajar,” katanya.

Kimlan berkata, dia mula melanjutkan pelajaran di universiti itu pada usia 72 tahun bersama seorang anak perempuannya.

Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian anaknya meninggal dunia menyebabkan dia menangguhkan pengajiannya.

Bagi menghilangkan kesedihannya, Kimlan menyambung semula pengajiannya ketika dia berusia 85 tahun dan bertekad untuk mendapat segulung ijazah.

“Saya bertekad untuk menamatkan pengajian ini dengan harapan roh anak saya akan tenang,” jelasnya.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 10:11am
d