global

Banjir, tanah runtuh di Nepal ragut 49 nyawa

Oleh Reuters

Kathmandu: Hujan lebat melanda Nepal semalam, menyebabkan banjir dan tanah runtuh berlaku di merata tempat di negara itu, sekali gus meningkatkan angka kematian akibat cuaca buruk selama tiga hari kepada 49 orang.

Pegawai berkata, angka itu mungkin lebih tinggi selepas 36 orang dilaporkan hilang.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, hujan lebat yang tertumpu di selatan negara itu menyebabkan 5,000 orang dipindahkan.

Lebih 30 orang dilaporkan mati kelmarin dan lebih 34,000 rumah dilaporkan tenggelam.

Tentera dan polis masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

“Jumlah kematian mungkin meningkat kerana kami masih mengumpulkan maklumat,” kata Laxmi Pun, pembantu Menteri Dalam Negeri, Janardan Sharma.

Palang Merah menganggarkan 100,000 orang terjejas akibat bencana itu dengan seorang pegawai berkata, hubungan telekomunikasi dan bekalan elektrik terputus di kebanyakan kawasan, menyulitkan lagi usaha menyelamat dan mengagihkan bantuan kepada mangsa.

Hujan lebat yang bermula pada Jun dan berterusan sehingga September amat penting bagi Nepal yang bergantung kepada hasil pertanian.

Tetapi ia juga menyebabkan kucar-kacir setiap tahun.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 8:41am
d