global

Angkara pelampau kulit putih

Oleh Agensi

Charlotesville: Perhimpunan ratusan nasionalis kulit putih di Virginia bertukar menjadi ganas kelmarin apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan penunjuk perasaan yang membantah perhimpunan berkenaan, menyebabkan seorang terbunuh.

Gabenor negeri itu menyalahkan kumpulan nasionalis kerana mencetuskan kekacauan di bandar Charlottesville, tempat kumpulan bertentangan bergaduh menggunakan batu dan penyembur lada selepas penunjuk perasaan nasionalis berhaluan pelampau berhimpun untuk menentang rancangan mengalihkan patung seorang wira perang saudara Amerika Syarikat.

Sebuah kereta kemudian merempuh orang ramai menyebabkan seorang wanita berusia 32 tahun terbunuh.

Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan beberapa orang melambung ke udara dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, dua anggota polis Virgina terbunuh dalam nahas helikopter ketika membantu pasukan keselamatan di darat mengawasi keadaan tegang dari udara.

Gabenor Virginia, Terry McAuliffe dari parti Demokrat mengisytiharkan darurat di negeri itu dan mengharamkan perhimpunan nasionalis kulit putih.

Pergaduhan yang berlaku itu menunjukkan kemunculan semula pergerakan pelampau kulit putih selepas bertahun-tahun terlindung di sebalik bayangan politik arus perdana negara itu.

Bercakap di padang golf di New Jersey, Trump mendakwa keganasan itu membabitkan banyak pihak, menyebabkan dia dikecam daripada pelbagai sudut kerana tidak mengecam kumpulan pelampau kulit putih itu.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki dari Ohio, Alex Fields Jr, 20, pemandu yang merempuh orang ramai dengan keretanya atas tuduhan membunuh dengan niat tanpa merancang.

Kejadian berlaku tidak jauh dari patung Robert E Lee yang mengetuai tentera Konfederat dalam Perang Saudara Amerika.

Sembilan orang cedera, lima daripada mereka parah akibat perbuatan Fields, penyokong kumpulan pelampau berkenaan..

Tokoh Demokrat, aktivis dan beberapa anggota kanan Republikan berkata, Trump tidak mempunyai alasan untuk tidak mengecam kumpulan pelampau itu.

“Tuan Presiden - kita perlu panggil kejahatan dengan namanya. Mereka adalah pelampau kulit putih dan ini masalah dalam negara,” tulis Senator Cory Gardner di Twitter.

Keganasan bermula Jumaat malam apabila ratusan pelampau kulit putih berarak sambil membawa obor di kampus Universiti Virginia yang pemerhati dakwa hampir sama dengan perhimpunan Ku Klux Klan.

Mereka disambut oleh penunjuk perasaan yang menentang perhimpunan berkenaan.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 9:12am
d