global

'Insiden tak sengaja' bunuh tentera AS

Oleh Agensi

PENTAGON mengesahkan dua tentera Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh dalam pertempuran di utara Iraq bukan angkara Daish.

Menurut jurucakap Pentagon, sebaliknya mereka maut akibat ‘kemalangan yang tidak disengajakan’ dalam kejadian kelmarin.

Dalam kejadian berkenaan lima anggota tentera AS turut cedera.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, mereka yang terbunuh ialah Sarjan Allen Stigler Jr, 22, dari Arlington, Texas, dan Sarjan Roshain E Brooks, 30, dari Brooklyn, New York.

Kedua-dua mereka dari pasukan elit 82 Divisyen Para.

Tentera darat AS masih menyiasat insiden berkenaan.

“Seksyen artileri sedang membalas serangan mortar Daish sebelum ‘kemalangan’ berkenaan terjadi mengakibatkan tujuh anggota tentera cedera,” menurut jurucakap Pentagon Kolonel Robert Manning.

Bagaimanapun Pentagon enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit dan tidak jelas apakah yang dimaksudkan ‘kemalangan yang tidak disengajakan’ itu.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 8:49am
d