global

Jet pejuang Sukhoi-57 baharu

Oleh Agensi

RUSSIA memperkenalkan pesawat pejuang ‘ghaib’ supersonik baharu - yang akan membuatkan ketumbukan tentera udara seluruh dunia kagum dan ‘cemburu’.

Jet Sukhoi-57 tercanggih bernilai £120 juta (RM660 juta) itu bakal menyaingi pesawat F-22 Raptor milik Amerika Syarikat (AS) dan Chengdu J-20 yang dimiliki China.

Jurucakap Kremlin berkata, jet pejuang stealth generasi kelima itu dikenali sebagai Su-57 akan menjalani ujian berikutnya selama setahun sebelum memasuki perkhidmatan ketenteraan pada tahun 2019.

Ia berupaya terbang dengan kelajuan maksimum 2,599 kilometer sejam (kmj).

Pesawat itu dipanggil 'PAK FA' dan 'T-50' semasa pembinaannya.

Russia berkata, Su-57 akan mengguna pakai teknologi stealth paling canggih bagi menyukarkannya dikesan oleh radar musuh.

Menurut Newsweek, jet terbabit akan menggunakan peluru berpandu K-77M dengan jarak lebih 200km manakala peluru berpandu milik AS, AIM-120D Scorpion hanya memiliki jarak kira-kira 160km.

Pengeluar penerbangan ketenteraan Russia mendakwa ia lebih murah berbanding yang dikeluarkan pesaingnya AS.

Pasukan tentera negara itu akan menerima 12 pesawat kumpulan pertama nanti.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 10:43am
d