global

Meningkat 3 kali ganda

Oleh Reuters

Jakarta: Jumlah suspek pengedar dadah yang mati ditembak polis meningkat tiga kali ganda setakat pada tahun ini berbanding keseluruhan kes pada 2016, kata kumpulan hak asasi manusia semalam.

Amnesty International Indonesia juga bimbang negara itu menjadi seperti Filipina yang melancarkan kempen memerangi dadah yang menyebabkan ribuan suspek maut.

Kata kumpulan itu, sekurang-kurangnya 60 suspek pengedar dadah mati ditembak polis setakat tahun ini berbanding 18 pada tahun lalu.

“Ketika polis menjalankan tugas terhadap peningkatan pengunaan dadah, menembak mati suspek bukan jalan penyelesaian,” kata pengarah Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.

Tambahnya, kebanyakan kematian membabitkan polis menembak mati suspek untuk mempertahankan diri atau suspek melawan ketika ditahan.

“Bagaimanapun, tiada siasatan bebas dijalankan untuk menyiasat kejadian berkenaan,” jelasnya.

Jurucakap agensi antidadah polis Indonesia, Sulistiandriatmoko memberitahu, anggota keselamatan perlu mementingkan keselamatan diri sendiri dan orang lain sekiranya suspek melawan.

“Jika senjata api digunakan, ia selepas mempertimbangkan keselamatan anggota dan mereka yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Namun, dia enggan memberi komen mengenai jumlah kematian suspek pengedar dadah yang meningkat itu.

Pihak berkuasa menganggarkan seramai 6.4 juta penagih dadah di negara yang mempunyai seramai 250 juta penduduk itu dengan penggunaan methamphetamine meningkat sejak beberapa tahun.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga mengarahkan operasi ‘tanpa belas kasihan’ terhadap pengedaran dadah yang dianggapnya sudah melebihi tahap darurat.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 8:55am
d