global

Kereta sport rentung bakal dilelong

Houston (Amerika Syarikat): Sebuah kereta sport bakal dilelong walaupun keadaannya sudah rentung terbakar.

Kereta sport Chevrolet Corvette itu dilaporkan bakal dijual dalam satu acara lelongan di Houston, Texas pada minggu ini.

Sekiranya berada dalam keadaan baik, kereta model 2015 itu dianggarkan berharga AS$42,838 (RM183,924).

Kereta itu dijual di laman sesawang Copart yang terkenal dengan jualan kereta terpakai dan kenderaan untuk dibaik pulih.

Gambar iklan yang dimuat naik di laman sesawang itu menunjukkan kereta itu dalam keadaan rentung dan musnah sama sekali.

Besi yang terdapat pada kenderaan itu juga sudah remuk tetapi ia mungkin boleh dijual untuk dikitar semula.

Tiada harga permulaan diletakkan dan bangkai kenderaan itu masih belum menerima sebarang bidaan.

Punca kereta itu terbakar juga tidak dinyatakan.
- Agensi

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 5:19am
d