global

Serang waktu tidur

Oleh AFP

Manila: Militan Abu Sayyaf menyerang sebuah bandar di selatan Filipina pada awal pagi semalam dengan membakar rumah ketika wanita dan kanak-kanak sedang tidur menyebabkan sembilan penduduk maut dan 10 lagi cedera.

Jurucakap polis, John Cundo memberitahu, kira-kira 60 militan memasuki sebuah bandar di pulau Basilan di wilayah selatan Mindanao, sebelum melepaskan tembakan.

“Ini perbuatan pengganas dan pengecut. Sebaik tentera bertempur dengan mereka selama 45 minit dan merasakan jumlah askar terlalu ramai, mereka berundur dan melarikan diri.

“Malangnya, wanita dan kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa kerana mereka masih tidur ketika kejadian berlaku,” katanya.

Ujarnya, militan berkenaan membakar empat rumah dan sebuah pusat jagaan harian di bandar Maluso manakala polis dan tentera memburu kumpulan bersenjata itu.

Menurut Cundo, susulan serangan semalam, ramai penduduk melarikan diri dari rumah mereka kerana bimbang kumpulan itu mungkin kembali lagi.

Pihak berkuasa turut menghantar tentera untuk mengawal bandar berkenaan.

Abu Sayyaf ditubuhkan pada 1990-an menggunakan dana yang disalurkan rangkaian Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden.

Kumpulan itu aktif dalam aktiviti rompakan dan penculikan menyasarkan orang asing bagi meminta wang tebusan berjumlah jutaan dolar sebagai pertukaran.

Satu serpihan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Basilan pernah menyatakan kesetiaan kepada kumpulan militan Daish.

Anggota kumpulan itu dipercayai menyertai militan yang masih menawan sebahagian bandar Marawi dan bertahan sejak Mei lalu.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 9:05am
d