global

MILF bimbang pengaruh Daish berkembang

Datu Salibo (Filipina): Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam mendakwa 10 pejuangnya terbunuh dalam pertempuran bagi menghalang pengaruh militan yang menyokong Daish yang semakin berkembang.

Seorang pemimpin MILF, Mohagher Iqbal berkata, kumpulan itu berusaha menghalang militan bertapak di Mindanao yang juga kubu kuat MILF.

Katanya, seramai 50 militan menyokong Daish dan mempunyai hubungan dengan kumpulan bersenjata yang berkubu di Marawi sejak tiga bulan lalu.

“Elemen radikal ini berkembang menjadi satu kuasa yang bahaya,” katanya melalui telefon kepada AFP.

Seorang wartawan AFP yang menyertai pejuang MILF memberitahu, pertempuran tertumpu di kawasan hutan dan tanah pertanian berhampiran bandar Datu Salibo.

Datu Salibo terletak kira-kira 100 kilometer dari selatan Marawi dan kira-kira 800 kilometer dari selatan Manila.

MILF adalah kumpulan pemberontak terbesar di Mindanao tetapi sudah menandatangani perjanjian damai dengan Manila bagi menubuhkan sebuah wilayah autonomi.

Menurutnya, pertempuran yang tercetus sejak awal bulan lalu menyebabkan 10 pejuang MILF maut manakala sejumlah militan juga terkorban. - AFP

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 5:10am
d