global

'Guru' rogol dijel 10 tahun

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang lelaki dianggap ketua agama dipenjara 10 tahun semalam kerana merogol dua wanita dalam pada pihak berkuasa berjaga-jaga menghadapi kemarahan pengikutnya susulan rusuhan Jumaat lalu yang mengorbankan 38 orang ketika kesnya pertama kali diputuskan mahkamah.

Pegawai kanan bertanggungjawab untuk ketenteraman awam di Haryana, Ram Niwas berkata: “Mahkamah memerintahkan Gurmeet Ram Rahim Singh dipenjara 10 tahun.”

Media tempatan melaporkan Singh, 50, menangis ketika hukuman dijatuhkan dan berulang kali menyatakan dia tidak bersalah selain enggan meninggalkan bilik prosiding.

Puluhan ribu pengikut Singh, 50, membakar kenderaan dan bertempur dengan anggota keselamatan di Haryana, Jumaat lalu, dalam kejadian yang turut mengakibatkan lebih 200 orang cedera selepas dia disabitkan merogol dua wanita terbabit pada 2002.

Susulan itu, beberapa bandar dikenakan perintah berkurung di Haryana serta Punjab, manakala ibu negara, New Delhi juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Di Rohtak, tempat kes dibicarakan, semalam, polis turut diberi arahan menembak sesiapa yang cuba mencetuskan rusuhan.

Talian Internet diputuskan, manakala jalan raya dikenakan sekatan dengan askar turut dikerah untuk membantu mengawal keadaan. Selain itu, lebih 100 penyokong kuat Singh ditahan sebagai langkah berjaga-jaga.

Singh tidak dibawa ke mahkamah semalam, sebaliknya hakim diterbangkan ke penjara yang dikawal ketat menaiki helikopter.

Singh - digelar ‘guru mengerlip’ kerana gemar pakaian seperti itu - didakwa selepas surat layang dihantar pada 2002 kepada Perdana Menteri Atal Bihari Vajpayee mendakwa beberapa wanita dalam kultus Singh dirogolnya.

Hakim mengarahkan siasatan dilancarkan, tetapi mangsa cuma dikesan beberapa tahun kemudian sebelum dua tampil memfaillkan laporan pada 2007.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 9:06am
d