global

Puluhan ribu mesin ATM tergendala

Oleh Reuters

Jakarta: Perkhidmatan puluhan ribu mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin bayaran kad elektronik di Indonesia tergendala kelmarin akibat masalah satelit.

PT Telekomunikasi Indonesia (Telkom) memberitahu, sebahagian perkhidmatan itu kembali beroperasi tetapi dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Kira-kira 15,000 stesen penerima di seluruh Indonesia terjejas akibat masalah pada satelit Telkom-1, perkhidmatan yang digunakan agensi kerajaan, bank, syarikat penyiaran dan syarikat lain.

Presiden Telkom, Alex Sinaga memberitahu, penukaran arah antena satelit yang kali pertama dikesan pada Jumaat lalu, mengganggu sambungan.

Bank Central Asia (BCA), bank terbesar dari segi nilai pasaran di Indonesia, mengalami gangguan terhadap 5,700 ATM atau 30 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dimiliki syarikat itu, kata ketua eksekutif BCA, Jahja Setiaatmadja.

Bank Rakyat Indonesia mengalami gangguan terhadap 300 ATM miliknya tetapi sebahagian mesin itu kembali beroperasi.

Pengguna di Jakarta berkata, banyak kedai tidak boleh memproses pembayaran kad kredit kelmarin dan pengguna Twitter pula mengadu ada mesin ATM masih tergendala hingga semalam.

Menurut data bank pusat, terdapat lebih 100,000 mesin ATM di Indonesia.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 9:21am
d