global

Akur janji

Oleh AFP

Beirut:Pejuang Daish mula mengosongkan kawasan di sempadan Syria-Lubnan susulan perjanjian kali pertama seumpamanya untuk kumpulan militan berkenaan menamatkan pendudukan di situ, kata televisyen kebangsaan Syria serta Hizbullah.

Menurut perjanjian itu, ratusan anggota Daish dan keluarga mereka di kedua-dua belah sempadan dibenarkan menaiki bas meninggalkan kawasan itu untuk ke Deir Ezzor, timur Syria, iaitu satu-satunya wilayah negara itu yang masih di bawah kawalan kumpulan militan berkenaan.

Ketua Hizbullah Hassan Nasrallah berkata dalam ucapan disiarkan secara langsung: “Objektif operasi itu sudah dicapai. Daish diusir dari wilayah Lubnan, sempadan kini selamat dan Qalamun barat (Syria) bebas daripada kumpulan itu.”

Terdahulu, sumber tentera Lubnan berkata, konvoi hanya akan dibenarkan melepasi kawasan itu selepas selesai ujian DNA terhadap beberapa mayat - dipercayai lapan tenteranya yang diculik pada 2014. Mayat berkenaan ditemui di kawasan itu pada hujung minggu lalu.

Tentera Lubnan melancarkan serangan terhadap Daish di kawasan pergunungan Jurud Arsal dan Jurud Ras Baalbek pada 19 Ogos lalu.

Semalam, ia berkata, kebanyakan kawasan yang sebelum ini dikuasai Daish sudah ditawan semula.

Pada masa sama, Hizbullah melancarkan serangan serentak terhadap Daish di sebelah sempadan Syria.

Tentera Lubnan dan Hizbullah mengumumkan gencatan senjata di kedua-dua belah sempadan selepas mencapai persetujuan dengan Daish untuk pemindahan itu pada hujung minggu lalu.

Anggota Daish dilaporkan membakar kediaman mereka sebelum mengosongkan kawasan berkenaan.

Susulan itu, Jeneral Fadi Daoud dari tentera Lubnan berkata, walaupun kawasan itu diisytiharkan selamat, pihaknya masih berhati-hati kerana bimbang ada periuk api ditinggalkan Daish. AFP

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 9:25am
d