global

Siasat rasuah lambat amaran

Oleh AFP

Macau: Badan antirasuah Macau memulakan siasatan terhadap biro kaji cuaca bandar itu berhubung caranya mengendalikan Taufan Hato, dalam pada laporan mengatakan kelewatan amaran itu ada kena mengena dengan industri perjudian.

Kerosakan disebabkan taufan itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, mendorong peletakan jawatan ketua biro kaji cuaca Macau, permohonan maaf oleh pemimpin bandar itu dan pengerahan Tentera Pembebasan Rakyat di Macau untuk turut menyertai usaha bantuan serta menyelamat.

Menurut laporan, industri perjudian memainkan peranan penting menyebabkan amaran taufan lewat dikeluarkan pada Rabu lalu dalam ribut dianggap yang terkuat dalam tempoh 53 tahun melanda Macau.

Suruhanjaya Membasmi Rasuah Macau (CCAC) Isnin lalu berkata, ia menerima banyak aduan berhubung amaran taufan oleh Biro Meteorologi dan Geofizik Macau.

Menurut CCAC dalam satu kenyataan, siasatan itu membabitkan proses amaran dan pengurusan dalaman biro berkenaan termasuk bekas ketuanya, Fong Soi-kun, yang meletak jawatan Khamis lalu.

Katanya, aduan sama diterima tahun lalu ketika Taufan Nida melanda apabila tiada amaran berkurung dikeluarkan selepas ribut mencapai tahap T8 yang mewajibkannya.

“Tidak syak lagi, pengaruh kasino memainkan peranan terhadap orang yang bertanggungjawab membuat amaran ribut itu,” kata sumber yang tidak didedahkan kepada akhbar South China Morning Post sambil menambah sebaik isyarat T8 itu dibangkitkan, kasino perlu membayar semua kakitangan lebih masa.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 9:39am
d