global

Keluarga Marcos sedia pulangkan harta

Oleh AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberitahu, pewaris bekas diktator Ferdinand Marcos menawarkan untuk memulangkan sebahagian harta keluarga itu yang menjadi pertikaian termasuk beberapa jongkong emas.

Mendiang Marcos dan isterinya, Imelda dituduh menyeleweng kira-kira AS$10 bilion (RM43 bilion) harta negara ketika berkuasa selama 20 tahun.

Keluarga itu hidup dalam buangan di Amerika Syarikat (AS) selepas ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat pada 1996.

Kerajaan bulan lalu membayangkan membubarkan agensi yang berjaya mendapatkan semula harta berjumlah AS$3.4 bilion (RM14.5 bilion) daripada keluarga Marcos.

Bagaimanapun, Duterte semalam berkata, keluarga Marcos memaklumkan mahu membuka peti simpanan dan kemungkinan memulangkan semula sebahagian harta itu.

Namun, Duterte tidak mendedahkan nama keluarga Marcos yang berjumpanya dan jumlah harta yang mahu dikembalikan.

“Dia memberitahu mereka sedia untuk membuka dan membawa harta itu pulang termasuk beberapa jongkong emas.

“Tetapi harta itu tidak termasuk yang berada di Fort Knox,” katanya.

Fort Knox adalah peti simpanan keselamatan di AS yang menyimpan simpanan emas AS.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 9:43am
d