global

Polis Jakarta minta bantuan Interpol

Oleh Agensi

Jakarta: Polis Jakarta bekerjasama dengan Interpol mengesan dan membawa ulama kontroversinya, Rizieq Shihab pulang ke Indonesia.

Jurucakap polis daerah Jawa Barat, Umar Surya Fana berkata, pihaknya bekerjasama dengan Interpol Indonesia bagi memanggil Rizieq membela diri.

Pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI) itu, dinamakan sebagai suspek dalam kes perbualan lucah dengan seorang aktivis politik wanita.

Rizieq juga disiasat kerana didakwa menghina Pancasila atau rukun negara itu dalam ceramahnya.

Pemimpin berpengaruh itu melarikan diri ke Arab Saudi sejak beberapa bulan lalu dan enggan pulang sehingga polis menarik balik kes berkenaan.

“Kami hantar dua pegawai untuk bekerjasama dengan Interpol dan seorang lagi di Arab Saudi untuk berhubung dengan Interpol di sana,” katanya.

FPI adalah kumpulan utama yang menggerakkan bantahan terhadap bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa menghina Islam.

Basuki atau Ahok kini dihukum penjara dua tahun selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 8:49am
d