global

Pertempuran paling sengit

Oleh Reuters

Marawi: Askar Filipina berdepan pertempuran paling sengit dalam usaha menawan bandar Marawi di selatan negara itu yang dikuasai militan Daish lebih 100 hari, kata pegawai semalam.

Pemberontak Maute yang dibantu militan Daish mengejutkan negara itu apabila menawan Marawi pada Mei lalu.

Selepas lebih 100 hari bertempur, sebilangan militan masih menguasai beberapa kawasan di Marawi.

Jurucakap tentera, Restituto Padilla berkata, askar melancarkan serangan kelmarin, sehari sebelum sambutan Aidiladha dan berjaya menawan sebuah jambatan.

“Ini adalah antara pertempuran paling sengit yang menyebabkan tiga askar terbunuh manakala sekurang-kurangnya lima militan maut.

“Kami masih berusaha menawan beberapa kawasan yang masih dikuasai musuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, serangan berhenti sebentar semalam bagi menghormati sambutan Aidiladha dan akan diteruskan tanpa henti hingga Marawi dibebaskan.

Tentera sebelum ini melahirkan keyakinan untuk menamatkan apa yang dianggap sebagai krisis keselamatan paling besar dalam tempoh beberapa tahun itu.

Bagaimanapun, kumpulan militan mengejutkan banyak pihak kerana masih mampu bertahan walaupun diserang termasuk serangan udara dan artileri hampir setiap hari.

Secara keseluruhan krisis itu meragut nyawa 620 militan, 45 orang awam dan 136 askar dan polis.

Krisis itu juga menyebabkan ratusan ribu penduduk dipindahkan dan meningkatkan kebimbangan mengenai pengaruh Daish di Asia Tenggara.

Disiarkan pada: September 2, 2017 @ 6:26am
d