global

Myanmar pekakkan telinga?

Oleh AFP

SELAIN pemenang Anugerah Keamanan Nobel Malala Yousafzai, pemimpin negara Islam di Asia turut mengkritik Myanmar serta mendesak negara itu menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya.

Malala, aktivis Pakistan yang terkenal selepas ditembak di kepala oleh Taliban berkata, sejak beberapa tahun lalu, saya berulang kali mengutuk keganasan itu.

“Saya masih menunggu rakan penerima Anugerah Nobel Aung San Suu Kyi (pemimpin Myanmar) untuk melakukan perkara yang sama,” katanya melalui Twitter.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi bertemu pemerintah tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing di Naypyidaw, hari ini dalam usaha mendesak kerajaan Myanmar berusaha menamatkan krisis itu.

“Sekali lagi, keganasan, krisis kemanusiaan ini perlu dihentikan segera,” kata Presiden Indonesia, Joko Widodo, di Jakarta ketika mengumumkan misi Retno, hari ini.

Beberapa jam sebelum itu, satu bom petrol dilempar ke Kedutaan Myanmar di Jakarta dan polis berjaya menggagalkan dua cubaan militan Islam untuk mengebom perkarangan kedutaan itu.

Lebih 10 tunjuk perasaan diadakan di depan Kedutaan Myanmar hari ini.

Jumaat lalu, Presiden Turki, Tayyip Erdogan, berkata keganasan terhadap penduduk Islam Myanmar Myanmar kini menghampiri kategori pembunuhan beramai-ramai dan mendesak Presiden Bangladesh Abdul Hamid membantu melindungi pelarian Rohingya.

Kementerian Luar Pakistan dalam kenyataan menyatakan negara itu amat bimbang dengan laporan jumlah korban yang ramai serta etnik Rohingya dihalau.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 7:19pm
d