global

Wanita, kanak-kanak bertempur di Marawi

Marawi: Askar yang bertempur dengan militan Daish yang menawan Marawi berdepan tentangan daripada wanita dan kanak-kanak yang menembak ke arah mereka, kata tentera semalam.

Tentera membuat serangan terakhir untuk menamatkan konflik itu yang berlarutan lebih 100 hari dan bersedia berdepan tentangan sengit militan.

Lokasi pertempuran kini tertumpu di kawasan kecil di pusat komersial Marawi yang penuh dengan penembak tepat dan jerangkap samar.

“Kami kini di fasa terakhir operasi dan kami menjangkakan pertempuran yang lebih sengit serta berdarah.

“Kami mungkin berdepan angka kematian yang tinggi kerana musuh semakin terdesak,” kata jurucakap tentera, Leftenan Jeneral, Carlito Galvez.

Katanya, jumlah militan semakin mengecil dan beberapa wanita serta kanak-kanak yang kemungkinan anggota keluarga pemberontak kini menyertai peperangan.

“Askar kami melihat wanita dan kanak-kanak menembak ke arah mereka, ini menunjukkan jumlah anggota militan semakin kecil,” jelasnya.

Lebih 800 orang majoritinya militan terbunuh dalam pertempuran sejak pemberontak yang dibantu militan Daish menawan Marawi pada 23 Mei lalu. - Reuters

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 7:49am
d