global

Bela mangsa bunuh

Oleh Reuters

Manila: Pejabat Guaman Awam (PAO) bakal memfailkan kes jenayah terhadap anggota polis yang menembak mati seorang remaja yang dituduh merompak, kes pembunuhan kedua terhadap remaja dalam tempoh seminggu di Manila.

PAO berkata, bedah siasat menunjukkan Carl Angelo Arnaiz, 19, didera sebelum ditembak mati di Caloocan City, sama seperti pelajar sekolah tinggi yang ditembak mati polis pada 16 Ogos lalu.

Kematian Kian Loyd delos Santos, 17, mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kempen antidadah Presiden Rodrigo Duterte yang menyebabkan ribuan orang maut.

Kata saksi, delos Santos diheret anggota polis tidak beruniform ke lorong gelap sebelum ditembak mati dan dibiarkan berhampiran pistol.

Polis berkata, anggota menembak mati remaja itu kerana mempertahankan diri daripada diserang.

Mayat Arnaiz ditemui ibu bapanya di sebuah rumah mayat pada 28 Ogos lalu.

Dia kali terakhir dilihat pada 17 Ogos lalu. Polis mendakwa remaja itu dituduh merompak seorang pemandu teksi dan mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.

Ketua PAO, Persida Acosta berkata, mata Arnaiz didapati lebam dan terdapat kesan gari pada pergelangan tangan serta empat kesan tembakan di dada dan tangan kanan.

“Kami akan pergi ke Jabatan Keadilan untuk memfailkan dakwaan bunuh. Dia dibunuh tanpa belas kasihan.

“Dia digari, bagaimana dia boleh melawan?” soalnya.

Sementara itu, Ketua Polis Metro Manila, Oscar Albayalde berjanji untuk menyiasat kematian remaja berkenaan.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 7:49am
d