global

Usir dari pulau

Oleh Agensi

Cox’s Bazar (Bangladesh): Pihak berkuasa Bangladesh mengusir lebih 2,000 etnik Rohingya dari sebuah pulau terpencil tempat mereka berlindung selepas melarikan diri daripada keganasan di Myanmar, kata pegawai semalam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 87,000 pelarian, kebanyakannya Rohingya, melintas sempadan Bangladesh sejak pertempuran terbaru tercetus 10 hari lalu di Rakhine.

Kebanyakannya melalui sempadan darat atau sungai Naf, tetapi ada yang cukup terdesak meredah lautan terbuka untuk sampai ke pulau St Martin yang terletak sembilan kilometer dari pesisiran pantai Bangladesh.

Seramai 9,000 penduduk pulau berkenaan - yang memiliki bahasa dan budaya sama dengan Rohingya menyembunyikan kira-kira 2,000 etnik golongan itu yang tiba beberapa hari lalu, tetapi diarah menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Ketua majlis tempatan, Noor Ahmad berkata, pembesar suara di masjid digunakan untuk membuat pengumuman berkenaan.

Rakannya, Farid Ahmed berkata: “Seramai 2,011 etnik Rohingya termasuk kanak-kanak dihimpunkan di ibu pejabat pengawal pantai lewat Ahad lalu sebelum dibawa pergi.

“Kanak-kanak itu semua menangis, tetapi ini arahan kerajaan. Apa lagi pilihan kami?

“Mereka menangis kerana tidak tahu nasib mereka. Mereka memberitahu diburu di sana, kediaman semuanya dibakar.”

Sumber berkata, mereka diiringi bot pengawal sempadan, manakala ratusan lagi turut diusir sebelum sempat sampai ke pulau itu.

Sementara itu, dua letupan dilaporkan di kawasan Myanmar bersempadan dengan Bangladesh, semalam.

Pengawal sempadan Bangladesh berkata, seorang wanita putus kaki akibat letupan yang berlaku 50 meter di sempadan Myanmar sebelum dibawa ke sebelah Bangladseh untuk rawatan.

Wartawan melaporkan letupan dan asap tebal kelihatan di perkampungan Myanmar berhampiran.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 7:53am
d