global

Tiada dasar bunuh suspek dadah

Manila: Ketua Polis Filipina, Ronald dela Rosa semalam menafikan ada dasar untuk membunuh suspek dadah dan menegaskan Presiden Rodrigo Duterte tidak pernah mengarahkannya untuk membunuh.

Duterte menang besar dalam pilihan raya umum pada tahun lalu selepas berikrar mengambil tindakan tegas terhadap dadah dan jenayah.

Selepas berkuasa pada Jun tahun lalu, Duterte melancarkan kempen memerangi dadah yang meragut ribuan nyawa suspek dadah.

Duterte dan kempennya masih kekal popular dalam kalangan rakyat tetapi kemarahan mula meningkat dengan kematian dua remaja, bulan lalu.

Dua remaja berusia 17 dan 19 tahun itu dilaporkan ditembak mati polis dalam kejadian berasingan selepas dituduh terbabit dengan aktiviti dadah dan rompakan.

“Kami sanggup mati melindungi rakyat yang tidak bersalah. Sangat menyedihkan apabila ada mendakwa terdapat dasar untuk pembunuhan beramai-ramai.

“Presiden tidak pernah mengarahkan saya buru dan bunuh,” kata Dela Rosa ketika dipanggil memberi keterangan di Senat.

Dia dipanggil memberi keterangan mengenai kematian, Kian Loyd delos Santos, 17, yang diheret polis ke lorong gelap sebelum dibunuh. - Reuters

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 11:24am
d