global

Kuasa 10 kali ganda

Oleh AFP

Tokyo: Ujian nuklear terbaru Korea Utara, hujung minggu lalu, dipercayai sekuat kira-kira 160 kilotan iaitu lebih 10 kali lebih kuat berbanding saiz bom atom yang memusnahkan Hiroshima pada 1945.

Tokyo sebelum ini memberi anggaran kekuatan lebih rendah iaitu 70 dan 120 kilotan bagi ujian dilancarkan Pyongyang pada Ahad lalu.

Menteri Pertahanan Itsunori Onodera semalam berkata, anggaran terbaru 160 kilotan itu berdasarkan semakan semula magnitud oleh Pertubuhan Perjanjian Komprehensif Larangan Ujian Nuklear (CTBTO).

“Ia jauh lebih kuat berbanding ujian nuklear mereka sebelum ini,” katanya.

Bom atom Amerika Syarikat (AS) yang memusnahkan Hiroshima pada 1945 cuma sekuat 15 kiloton.

Pengumuman terbaru Jepun itu juga jauh menjangkaui anggaran antara 50 hingga 100 kilotan dinyatakan ketua hal ehwal politik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jeffrey Feltman di Majlis Keselamatan badan dunia itu.

Semalam, Onodera dalam perbualan telefon bersama Setiausaha Pertahanan AS masing-masing bersetuju mempertingkat tekanan secara jelas terhadap Korea Utara.

Dalam perbualan itu, Onodera dilaporkan memberitahu Mattis: “Pembangunan nuklear dan peluru berpandu Korea Utara kini pada peringkat ancaman yang serius serta hanya menunggu masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.”

Ujian Ahad lalu yang dilaporkan Pyongyang sebagai bom hidrogen direka untuk peluru berpandu jarak jauh mencetuskan kebimbangan dunia dengan masyarakat antarabangsa berbelah bagi terhadap cara bertindak balas terhadapnya.

Duta AS Nikki Haley memberitahu Majlis Keselamatan, Washington akan membentangkan resolusi sekatan baru untuk dibincangkan dalam tempoh beberapa hari.

Bagaimanapun, Presiden Russia Vladimir Putin kelmarin berkata, tindakan seumpama itu ‘tidak berguna,’ seterusnya menunjukkan perbalahan antara kuasa besar mengenai cara mengawal Pyongyang dengan Moscow dan Beijing yang sependapat menentang pendirian Washington serta sekutunya.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 9:34am
d