global

Anak Duterte nafi seludup dadah

Oleh Reuters

Manila: Anak lelaki Presiden Rodrigo Duterte menafikan ada kaitan dengan rampasan dadah bernilai AS$125 juta (RM526 juta) yang diseludup masuk dari China.

Dalam keterangannya kepada siasatan Senat semalam, Paolo Duterte menegaskan tuduhan terhadapnya itu tidak berasas.

Penentang Rodrigo sebelum ini menuduh Paolo mungkin membantu kemasukan dadah itu yang dirampas di sebuah pelabuhan di Manila.

Senator Antonio Trillanes yang lantang mengkritik Presiden Duterte menunjukkan kepada Senat gambar-gambar Paolo di samping ahli perniagaan yang terbabit dalam penghantaran barangan di mana dadah berkenaan ditemui.

Selasa lalu, Presiden Duterte berkata, dia meminta Paolo hadir ke siasatan Senat bagi membuktikan dia dia tidak bersalah dan tiada apa mahu dirahsiakan.

Namun, dia menasihatkan Paolo tidak menjawab soalan serta menegaskan kepada anaknya itu beliau berhak berdiam diri.

Paalo yang kini Naib Datuk Bandar Davao, berkata: “Saya tidak boleh menjawab soalan berdasarkan khabar angin semata-mata.

“Kehadiran saya di sini demi rakyat Filipina dan penduduk Davao.”

President Duterte adalah Datuk Bandar Davao sebelum memenangi pilihan raya presiden dan jawatannya itu kini dipegang anak perempuannya, Sara Duterte-Carpio.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 11:11pm
d