global

Tiga Rohingya maut pijak periuk api

Oleh AFP

TIGA pelarian Rohingya maut dipercayai terpijak periuk api atau jerangkap samar di sempadan Myanmar dan Bangladesh, hari ini.

Pemerintah Pengawal Sempadan Bangladesh di Cox's Bazar, Leftenan Kolonel Manzurul Hasan Khan, berkata pihaknya terdengar letupan malam tadi, kira-kira 100 meter dari sempadan.

“Mangsa yang terselamat memberitahu dia bersama tiga lagi di tempat kejadian. Menurut mangsa itu, tiga rakannya mati di tempat kejadian akibat letupan dipercayai periuk api,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang terselamat itu cedera di tubuh dan muka.

Seorang lagi etnik Rohingya cedera di tempat yang sama selepas dia kembali ke kampungnya untuk membawa lembu-lembunya ke Bangladesh.

Minggu lalu, dua kanak-kanak pelarian Rohingya cedera akibat letupan periuk api di sempadan kedua-dua negara dengan seorang putus kaki.

Rabu lalu, Bangladesh memanggil Duta Myanmar untuk menyampaikan bantahan tindakan kerajaan negara itu memasang periuk api di sempadan.

Kerajaan Bangladesh dan agensi bantuan antarabangsa mendakwa tentera Myanmar memasang periuk api di sempadan bagi menghalang etnik Rohingya pulang ke kampung mereka di negeri Rakhine.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 6:38pm
d