global

Pencuri mengganas di Florida

Oleh Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 32 orang ditahan kerana mengambil kesempatan mencuri dari kedai dan rumah yang ditinggalkan pemiliknya di Florida, bagi mengelak Taufan Irma,

Menurut polis, 28 daripada yang ditahan itu di Miami.

Menurut laporan Daily Mail, dua pencuri ditahan selepas memecah masuk sebuah kedai sukan di Orlando dan mencuri pistol sebelum ditahan anggota SWAT yang meronda.

Mereka enggan menyerah diri menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam kedai sebelum berjaya menahan mereka.

Polis turut menerima laporan penjenayah bersenjatakan pistol merompak pemilik rumah selepas menyamar sebagai pekerja jabatan utiliti memandu kenderaan SUV.

Rakaman CCTV juga menunjukkan satu kumpulan menggeledah dua kedai di Florida Selatan. Seorang cedera ditembak polis dan 12 lagi ditahan.

Sheriff Daerah Broward menembak seorang remaja dan menahan seorang lagi selepas mereka memecah masuk sebuah rumah yang ditinggalkan pemiliknya di Fort Lauderdale, kira-kira 3 pagi, hari ini.

Polis ke rumah berkenaan selepas pemiliknya memberitahu sistem penggera keselamatan rumahnya menunjukkan ada pencuri dalam rumah.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 5:10pm
d