global

Militan Daish sedia serah diri

Oleh Reuters

Marawi: Sebahagian militan Daish yang dikepung di bandar ini menghantar ‘utusan’ bahawa mereka sedia menyerah diri selepas tiga bulan setengah bertempur, kata tentera semalam.

Askar Filipina menggunakan pembesar suara bagi menggesa militan menyerah diri dan memberitahu mereka tidak akan dibunuh sekiranya meletakkan senjata, menukar pakaian hitam dan pergi ke lokasi yang ditetapkan.

Dianggarkan masih terdapat 50 hingga 60 militan yang bertahan di satu kawasan kecil di Marawi.

“Kami berharap mereka menyerah diri dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Ada orang utusan. Sudah pasti ada utusan dihantar,” kata, jurucakap tentera, Romeo Brawner tanpa mengulas lanjut.

Tawaran menyerah diri itu susulan usaha Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memulakan rundingan dengan militan dengan bekas Datuk Bandar Marawi, Omar Solitario Ali menjadi orang tengah.

Duterte pada Sabtu lalu menolak kemungkinan membenarkan militan dilepaskan sebagai tukaran pembebasan tebusan yang ditawan mereka.

Sementara itu, dua lagi askar terbunuh kelmarin menjadikan seramai 147 anggota keselamatan maut dalam konflik berkenaan.

Peperangan itu juga menyebabkan 655 militan dan 45 orang awam terbunuh.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 2:34am
d