global

Filipina bina kereta api bawah tanah pertama

Manila: Satu badan yang dipengerusikan Presiden Rodrigo Duterte meluluskan empat projek mega bernilai AS$7.59 bilion (RM31.83 bilion), termasuk pembinaan kereta api bawah tanah pertama Filipina.

Negara dengan ekonomi antara paling pantas berkembang di dunia itu berusaha membaik pulih infrastruktur yang berusia untuk meningkatkan daya saing, mencipta peluang kerja dan menangani isu pelabur seperti kos, logistik dan rangkaian bekalan.

Setiausaha Perancang Sosio-ekonomi, Ernesto Pernia berkata, kelulusan dan seterusnya penyiapan projek itu membuka jalan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang kerajaan.

Projek terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan projek yang diluluskan sejak Duterte berkuasa pada tahun lalu kepada 35 dengan nilai AS$23.6 bilion (RM98.95 bilion).

Projek paling besar diluluskan kelmarin adalah Projek Kereta Api Bawah Tanah Metro Manila yang bernilai 355.6 bilion peso (RM29.25 bilion).

Sistem kereta api itu yang pertama seumpamanya di Filipina yang dilihat sebagai keperluan penting bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang teruk di Manila.

Projek itu dibiayai bantuan asing dari Jepun dan pembinaan dijangka bermula pada awal tahun depan. - Reuters

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 10:07am
d