global

Tembok Garuda halang banjir di Jakarta

Oleh Thomson Reuters Foundation

IBU negara Indonesia, Jakarta, sedang tenggelam lebih cepat berbanding bandar raya lain di dunia dan kerajaan negara itu merancang membina tembok besar bagi menghalang kemasukan air laut.

Kawasan utara Jakarta sudah tenggelam empat meter sejak 40 tahun lalu dan menurut pakar dari Jepun, ada kawasan yang terggelam sehingga 20 sentimeter setahun.

Kira-kira 10 juta penduduk kawasan rendah berdekatan pantai yang asalnya kawasan paya, terdedah kepada ancaman ombak dan banjir seperti yang berlaku pada 2013 apabila ditenggelami banjir sedalam dua meter.

Pakar bersetuju pengambilan air bawah tanah berlebihan untuk kegunaan penduduk dan komersil antara punca mendapan itu.

Namun, rancangan membina tembok besar itu mendapat bantahan, termasuk nelayan yang bimbang hasil tangkapan berkurangan.

Kerajaan Belanda yang negara itu lebih rendah berbanding paras laut, meminjamkan pakar mereka yang mencadangkan pembinaan tembok besar yang akan menutup Teluk Jakarta dengan kos sehingga AS$40 bilion.

Rancangan itu muncul pada 2014, dikenali sebagai "Garuda Besar”, membabitkan meninggi dan memperkukuh kawasan pantai di Teluk Jakarta serta membina tembok sepanjang 24 kilometer.

Jika dilihat dari udara, ia akan kelihatan seperti burung garuda, burung kebangsaan Indonesia namun pelannya kemudian ditukar untuk memasukkan pembangunan 17 pulau buatan.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 5:54pm
d