global

Dron, helikopter ceroboh ruang udara

Oleh Agensi

Dhaka: Bangladesh menuduh Myanmar berulang kali menceroboh ruang udaranya dan memberi amaran terhadap sebarang tindakan provokatif lanjut, seterusnya menegangkan lagi hubungan dua negara itu susulan krisis pelarian Rohingya.

Hampir 400,000 Rohingya memasuki Bangladesh sejak 25 Ogos lalu kerana melarikan diri daripada serangan tentera yang kononnya memburu pemberontak - tindakan diselar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘contoh klasik pencucian kaum.’

Bangladesh mendakwa dron dan helikopter Myanmar menceroboh ruang udaranya tiga kali pada 10, 12 dan 14 September.

“Bangladesh mendesak Myanmar mengambil tindakan segera memastikan pencabulan kedaulatan seperti ini tidak berulang,” kata kerajaan dalam satu kenyataan, lewat Jumaat.

Jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay berkata, dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara diadukan Bangladesh itu. Myanmar bagaimanapun pernah menafikan tuduhan seperti itu sebelum ini.

“Kami akan menyemak dakwaan ini, tetapi pada masa ini kedua-dua negara kita berdepan krisis pelarian dan memerlukan kerja sama serta persefahaman,” katanya.

Sementara itu, semalam dua kanak-kanak dan seorang wanita Rohingya terbunuh dalam rempuhan perebutan makanan di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Kejadian berlaku ketika pengedaran pakaian yang tidak mendapat kelulusan kerajaan di kawasan yang kini dipenuhi pelarian Rohingya itu.

Polis bagaimanapun mendakwa tidak menerima laporan mengenai kejadian itu.

Ketua polis tempatan Mohammad Kai-Kislu berkata: “Setahu saya cuma dua Rohingya meninggal dunia kelmarin, bayi enam bulan kerana radang paru-paru dan lelaki warga emas berusia 70 tahun.”

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 1:46am
d