global

Tamat perkhidmatan kapal udara RM42 juta

Bangkok: Tentera Thailand dikecam semalam susulan pendedahan mengenai sebuah kapal udara atau blimp bernilai AS$10 juta (RM42 juta) yang rosak sebelum ditamatkan perkhidmatan selepas lapan tahun tidak beroperasi.

Aeros 40D ‘Sky Dragon’ dibeli pada 2009 dengan alasan untuk operasi perisikan di selatan Thailand.

Bagaimanapun, kapal udara sepanjang 46.6 meter itu tidak terbang selama lapan tahun akibat pelbagai kerosakan, kebocoran dan pengisian semula gas helium yang mahal.

Pada 2012, kapal itu mendarat cemas di kawasan sawah selepas juruterbang hilang kawalan ketika misi rondaan.

Selepas penyahtauliahan kapal itu terbongkar pada minggu lalu, seorang aktivis, Srisuwan Janya menghantar surat mendesak Pejabat Besar Audit menyiasat kerugian ditanggung rakyat dalam pembelian kapal itu.

“Kami menggesa pejabat audit menyiasat bekas ketua tentera, anggota kabinet dan pegawai lain yang terbabit dalam pembelian ini,” katanya.

Sementara itu, ketua tentera Thailand, Chalermchai Sittisart cuba meredakan kemarahan orang ramai dengan berjanji untuk memastikan kamera canggih pada kapal itu digunakan untuk tujuan lain.

Tentera Thailand sebelum ini dikritik kerana berbelanja besar untuk pertahanan ketika keadaan ekonomi masih merudum termasuk membeli kapal selam dari China. - AFP

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 9:13am
d