global

TOYS "R" Us mohon perlindungan muflis

Oleh AFP

TOYS “R” Us memfailkan perlindungan muflis Bab 11 di mahkamah Amerika Syarikat berikutan menanggung hutang besar serta jualan tidak memberangsangkan.

Rangkaian menjual produk mainan dan bayi di Amerika serta 38 negara lagi kini mengalami kemerosotan jualan berikutan terpaksa bersaing dengan syarikat lain, terutama dalam talian seperti Amazon.

Menurut kenyataan Toys ‘R’ Us di New York hari ini, syarikat itu akan menyusun semula hutang dan modal bagi membolehkannya melakukan pelaburan jangka panjang.

Menurut kenyataan itu, rangkaian kedai Toys “R” Us di luar Amerika dan Kanada, termasuk kira-kira 255 kedai berlesen dan rakan kongsi di Asia tidak terbabit dalam prosiding muflis itu.

Ia mempunyai kira-kira 1,600 kedai Toys "R" Us dan Babies "R" Us di seluruh dunia dengan majoritinya mencatat keuntungan dan akan terus beroperasi, kata kenyataan itu.

“Bersama pelabur, kami akan bekerjasama dengan pemiutang untuk menyusun semula hutang AS$5 bilion yang akan menyediakan kewangan lebih anjal untuk pelaburan bagi meneruskan perniagaan melalui kedai fizikal dan dalam talian,” kata Pengerusi dan CEO syarikat itu, Dave Brandon.

Pembiaya sebelum ini, termasuk JPMorgan bersetuju menyuntik lebih AS$3 bilion.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 4:49pm
d