global

Perkosa, tembak, tikam, bakar hidup-hidup

Oleh CNN

RATUSAN ribu etnik Muslim Rohingya membanjiri Bangladesh sejak hujung bulan lalu, meninggalkan kampung halaman yang didiami puluhan tahun bagi mengelak menjadi mangsa keganasan di Rakhine, Burma.

Mereka menceritakan apa yang berlaku kepada ahli keluarga, jiran yang diperkosa, dibunuh seperti haiwan, malah dibakar hidup-hidup dalam rumah dalam operasi tentera Myanmar yang disahkan antarabangsa sebagai pembunuhan beramai-ramai pembersihan etnik yang sistematik.

Ikuti kisah mereka yang tragis dan memilukan.

Nadir Ahmed, 40, dari Maungdaw.

Saya petani di pinggir bandar Maungdaw, membesar di sana dan ada tiga ekar sawah. Konflik jauh dari kampung saya namun penduduk Buddha membakar rumah, saya seperti yang berlaku di perkampungan lain berdekatan.

Kami tiada hak di Myanmar, satu-satunya pilihan ialah ke Bangladesh.

Saya berjalan ke Bangladesh, bersama lapan anak, ia perjalanan yang amat sukar. Semua kami takut kerana tidak pernah meninggalkan Maungdaw.

Saya membayar 20,000 Myanmar Kyat ($15) kepada pemilik bot untuk hanya keluarga kami menyeberang kerana bimbang jika berlebihan muatan, bot karam.

Kami tidak pasti dengan masa depan. Di sini, kami kelaparan dan saya dijangkiti malaria ketika dalam perjalanan.

Abul Basar, 20, dari Maungdaw.

Saya berkahwin dua tahun lalu, dan berniaga menjual sireh yang pendapatannya cukup untuk menyara keluarga.

Apabila krisis bermula, saya amat takut kerana tahun lalu, tentera datang menahan serta membunuh ramai lelaki.

Apbila tentera datang saya berlari ke bukit, dari saya nampak tentera dan penduduk Buddha Rakhine membawa keluar isteri saya dari rumah dan merogolnya. Saya lihat sendiri mereka buat apa yang mereka mahu kepadanya.

Selepas itu, 20 penduduk, ramai wanita dimasukkan ke dalam sebuah rumah dan dibakar hidup-hidup.

Dunia jadi gelap, amat pilu dan pedih dengan nasib isteri

Saya tidak mampu berjalan dan dibawa orang ramai ke Bangladesh.

Rehena Begum, 25, dari Maungdaw

Kehidupan kami sekeluarga ringkas dengan sawah dan perniagaan buluh suami.

Satu petang, tiga trak tentera datang ke kampung, mereka menembak kami dan membakar rumah.

Semua orang bertempiaran lari dan suami serta abang saya terkena tembakan. Abang mati.

Kami berjalan selama empat hari ke Bangladesh dan di sempadan, ada orang Islam menawarkan bot.

Kami bernasib baik kerana dua bot di depan kami karam ditembak tentera Myanmar. Saya rasa semua dalam bot itu mati, mayat terapung dalam sungai.

Kami terselamat kerana sempat menyorok bot dalam semak, menunggu sehingga tentera pergi. Suami kini dirawat di hospital di Chittagong kerana lukanya yang parah sudah dijangkiti kuman.

Nur Ayesha, 30, dari Myaw Tung

Saya, suami dan dua anak tinggal dalam rumah sederhana besar di tepi tasik. Suami adalah nelayan di tasik itu.

Apabila krisis bermula, suami serta penduduk lelaki pergi bersembunyi kerana tahu tentera akan datang dan sejak itu tidak pernah melihatnya.

Suami tiada kaitan dengan ARSA (Arakan Rohingya Salvation Army) namun kerana mereka dia terpaksa melarikan diri, mungkin sudah mati.

Tentera datang dan membakar rumah saya, menembak dua lembu kami.

Saya jual apa yang ada untuk datang ke Bangladesh bersama anak-anak.

Kami berjalan selama lima hari, kaki saya bengkak, tambahan pula saya sedang mengandung.

Bagaimana nasib kami, terutama anak-anak nanti?

Muhammed Amin, 35, dari Duchang Fara

Saya mengajar pengajian Islam di madrasah (sekolah agama) namun saya bukan pemimpin agama.

Saya tidak suka tinggal di Myanmar kerana hidup dalam ketakutan sepanjang masa.

Apabila tentera datang ke kampung kami, saya lihat sendiri mereka membunuh 20 orang.

Saya cuba menyelamatkan jiran yang ditembak di dada, namun dia mati di atas pangkuan saya.

Keadaan huru-hara, semua orang lari bertempiaran.

Selepas serangan, kami pulang ke kampung bagi mencari mereka yang terselamat dan saya jumpa mayat anak saudara berusia 25 tahun.

Kami bersembunyi dalam hutan selama beberapa hari, mencari jalan ke Bangladesh, tanpa makanan, hanya makan daun.

Perjalanan ke Bangladesh amat sukar kerana laluan biasa dikawal tentera yang pasti akan menembak kami.

Saya tidak mahu kembali ke Myanmar, tanah dan rumah di sana tidak penting.

Solimullas, 10, dari Taung Bazar

Saya bersekolah di kampung namun sukar kerana kanak-kanak Buddha sering membaling batu ketika kami berjalan ke sekolah.

Saya suka belajar bahasa Burma kerana ia bahasa kebangsaan dan jika mahu tinggal di sana, saya perlu tahu.

Kami sedang tidur apabila tentera datang pada waktu malam dan mula menembak. Seorang tentera masuk ke dalam rumah, mengambil semua wang dan barang kemas.

Abang ipar membantah dan dia dibelasah dengan kayu sebelum ditahan.

Kami hanya mampu melihat. Saya dan kakak ke balai polis meminta abang dibebaskan namun kakak saya juga dipukul.

Rumah kami dibakar, tiada wang lalu kami ke Bangladesh, berjalan selama empat hari tanpa makanan.

Laluan berlumpur dan saya nampak banyak kampung musnah dibakar.

Kakak tidak ikut kerana mahu bersama suaminya. Dia lebih rela mati daripada meninggalkan suaminya.

Di sini (Bangladesh) kami hidup dalam keadaan amat daif, khemah plastik di kawasan penuh lumpur.

Kobir Ahmed, 27, dari Tha Win Chaung

Kampung saya dekat perkampungan Buddha dan kehidupan amat sukar kerana kami tidak boleh keluar dari kampung, tidak boleh membawa masuk barang dari luar.

Kedai pakaian saya (mendapat bekalan dari Maungdaw) sering menjadi mangsa khianat penduduk Buddha yang datang mengancam dan mencuri barang.

Selepas krisis 25 Ogos, tentera datang, menembak penduduk dan membakar rumah.

Mereka yang sihat melarikan diri namun ada kanak-kanak dan orang tua terperangkap, terbakar bersama rumah.

Penduduk Bangladesh membantu kami sebaik mungkin, terima kasih kepada mereka namun mereka tidak akan boleh membantu kami selama-lamanya. Ke mana kami mahu pergi?

Leila Begum, 35, dari Chin Kali

Saya dan suami ada empat anak, hidup hasil sawah padi seluas tiga ekar. Suami juga membuat kerja sampingan.

Tentera yang datang menembak kami dan dalam huru-hara itu, saya terpisah dengan dua anak lelaki.

Suami yang berlari di sebelah, berjaya ditangkap tentera dan depan mata saya, dia mati ditikam.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada anak-anak. Selepas tentera pergi, saya pulang mencari mereka dan jumpa mayat mereka.

Saya hilang suami dan anak, hanya dua anak perempuan masih hidup.

Kami tidur dalam hutan selama empat hari sebelum berjalan ke Bangladesh, melalui kawasan bukit. Saya menangis sepanjang perjalanan.

Sampai di sempadan, kami jumpa tiga mayat, mereka kelihatan baru saja mati ditembak.

Rohima Kadu, 50, dari Chin Khali

Saya ada enam anak, suami meninggal dunia beberapa tahun lalu. Anak lelaki bekerja sebagai buruh menyara kami.

Tentera datang membakar rumah penduduk, rumah saya. Ketika itu hanya saya dan anak perempuan sulung yang menghidap malaria berada di rumah.

Dia terlalu lemah untuk lari. Saya perlu membuat pilihan, ambil cucu dan berlari ke dalam hutan.

Mereka bakar rumah bersama anak saya hidup-hidup. Saya hanya temui rangkanya yang hangus, berasa amat tidak berguna sebagai ibu.

Bersama tiga cucu, saya berjalan ke Bangladesh, perjalanan yang sukar dengan laluan berlumpur dan hutan tebal.

Mohammed Younus, 13, dari Taung Bazar

Saya belajar al-Quran di madrasah dan mahu menjadi guru agama.

Selepas kejadian 25 Ogos, tentera datang, menembak kami yang bertempiaran lari. Kepala saya kena tembak.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak sedarkan diri.

Saya dibawa ke klinik untuk dirawat dan selepas itu, bersama keluarga berjalan ke Bangladesh menggunakan kayu sebagai tongkat kerana masih lemah.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 8:10pm
d