global

PM cerita 'live' pengalaman ribut

Oleh Agensi

Roseau: Perdana Menteri Pulau Dominica Roosevelt Skerrit menceritakan pengalamannya secara langsung melalui Facebook ketika Taufan Maria memusnahkan kediamannya manakala dia sekeluarga berlindung di dalam sebuah bilik.

Ribut kategori lima itu membadai pulau Caribbean berkenaan, lewat Isnin (waktu tempatan) kurang dua minggu selepas Taufan Irma melanda kawasan itu.

Skerrit memuat naik secara berterusan pengalaman mengerikan itu.

“Angin begitu kuat! Kami akan selamat jika diizinkan tuhan.

“Kami tidak tahu apa berlaku di luar. Namun bumbung rumah saya tercabut dan kediaman ini mula dibanjiri,” katanya.

Skerrit kemudian memuat naik maklumat lanjut kemusnahan akibat Maria.

“Laporan awal menyatakan kemusnahan meluas. Setakat ini kami hilang segala yang dapat dibeli atau digantikan dengan wang,” katanya.

Sementara itu, Pulau Martinique tidak menerima kesan teruk Maria, namun Guadeloupe terputus komunikasi sepenuhnya.

Kepulauan Virgin British turut mengeluarkan perintah berkurung sebagai persediaan menghadapi taufan itu.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 1:31am
d