global

Tabik tiga jari

Oleh AFP

Manila: Pengkritik Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melancarkan tabik tiga jari seperti filem Hunger Games sebagai simbol penentangan terhadap kempen memerangi dadah dan pemerintahan pemimpin itu.

Duterte sebelum ini terkenal dengan gaya ikonik menunjukkan penumbuk ke depan yang popular dalam kalangan penyokongnya.

Wakil rakyat dan anggota baru kumpulan gabungan anti-Duterte membuat tabik tiga jari itu kelmarin ketika mengumumkan satu protes pada Khamis ini terhadap pemimpin berkenaan.

Duterte dikritik hebat selepas kempen memerangi dadah yang dilancarkan meragut ribuan nyawa.

“Kami membuat tabik tiga jari ini bagi melambangkan penentangan sama seperti filem Hunger Games,” kata anggota Dewan Perwakilan, Gary Alejano.

Seorang aktivis, Emman Hizon memberitahu, penentangan itu seiring dengan kehendak ramai golongan muda.

Gaya itu digunakan oleh watak utama filem Hunger Games, Katniss Everdeen yang melambangkan penentangan terhadap pemerintah yang memaksa remaja bertempur hingga mati untuk hiburan golongan atasan.

Sejak itu, gaya itu dijadikan inspirasi oleh kumpulan prodemokrasi di Thailand yang mentang pemerintahan tentera.

Beberapa aktivis Thailand ditahan pihak berkuasa kerana membuat tabik tiga jari.

Isyarat tangan adalah simbol politik yang berpengaruh di Filipina dengan sejarah hitam penentangan terhadap pemerintahan tentera.

Aktivis demokrasi pernah menggunakan simbol tangan berbentuk ‘L’ dalam penentangan terhadap pemerintahan bekas diktator Ferdinand Marcos.

Marcos kemudian ditumbangkan dalam revolusi rakyat pada 1986 dan melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS).

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 9:00am
d