global

Pantau gunung berapi di Bali

Bali: Pihak berkuasa meningkatkan tahap berjaga-jaga untuk sebuah gunung berapi di sini selepas ratusan gegaran kecil mencetuskan kebimbangan ia mungkin meletus buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun.

Gunung Agung terletak kira-kira 75 kilometer dari Kuta, dikesan mencetuskan gegaran sejak Ogos lalu dan pihak berkuasa mengisytiharkan kawasan 7.5 kilometer dari puncak sebagai lokasi larangan.

Tiada debu meletus dari kawah tetapi ratusan gegaran kecil dikesan sejak dua hari lalu menyebabkan 350 penduduk meninggalkan kediaman mereka kelmarin.

“Walaupun gegaran tidak kerap dua hari lalu termasuk gempa selama 480 saat, penduduk mesti berwaspada,” kata Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Willem Rampangilei.

Lapangan terbang di pulau pelancongan popular dunia itu juga tidak terjejas dengan aktiviti berkenaan tetapi pihak pengurusan memantau situasi dengan teliti.

“Semua penerbangan berjalan seperti biasa dan tiada pembatalan akibat debu gunung berapi,” kata jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Yanus Suprayogi.

Gunung Agung kali terakhir meletus pada 1963 yang menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh. - AFP

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 9:34am
d