global

Buru pembunuh penghulu buaya

Oleh AFP

PIHAK berkuasa Australia sedang mengesan pihak yang bertanggungjawab membunuh buaya air masin gergasi yang dianggap pihak berkuasa sebagai penghulu buaya di Sungai Fitzroy, tengah Queensland, yang bangkainya ditemui semalam, dengan kesan tembakan.

Jabatan Alam Sekitar Queensland bimbang kematian buaya gergasi menimbulkan kemarahan buaya lain di kawasan terbabit.

Bangkai buaya sepanjang 5.2 meter itu ditemui dengan satu kesan tembakan dan menurut polis, menjadi kesalahan menangkap atau membunuh buaya tanpa kebenaran.

“Polis dengan kerjasama jabatan alam sekitar akan mengesan mereka yang bertanggungjawab,” kata kenyataan polis Queensland.

Mereka yang membunuh buaya tanpa permit boleh didenda sehingga AU$28,383.75 (AS$22,530).

Pengarah jabatan alam sekitar Queensland, Michael Joyce, berkata orang ramai perlu faham kematian buaya gergasi berkenaan mengganggu keseimbangan populasi buaya di Fitzroy.

“Kami menjangka buaya jantan akan bertindak agresif kerana berebutkan ‘jawatan’ yang dikosongkan buaya terbabit,” katanya.

Menurutnya, buaya yang mati itu bagaikan penghulu yang mengawal sungai dan kelakuan buaya lain.

Buaya air masin di Australia boleh membesar sehingga tujuh meter panjang dengan berat lebih satu tan.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 7:36pm
d