global

6,000 penduduk diarah berpindah

Oleh Reuters

Denpasar: Ribuan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Agung diarah berpindah selepas gunung yang aktif itu mencetuskan gempa bumi dan mengeluarkan asap, kata pegawai semalam.

Tahap amaran gunung itu yang terletak di timur Bali itu dinaikkan ke paras tiga, di bawah yang tertinggi.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada pelancong serta penduduk supaya tidak berada dalam lingkungan enam kilometer dari kawah gunung berapi.

“Aktiviti gunung berapi masih tinggi dan ada tanda-tanda menunjukkan magma naik ke permukaan yang menyebabkan gegaran.

“Tiada kegiatan awam dilakukan dalam lingkungan radius itu sekiranya berlaku letusan,” kata jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho.

Bagaimanapun, penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Bali masih beroperasi seperti biasa, walaupun ada sedikit gangguan terhadap pengusaha pelancongan di seluruh pulau itu.

Hampir 6,000 orang dipindahkan setakat ini dan angka itu dijangka meningkat.

Beberapa penduduk di kampung yang terletak di kaki Gunung Agung enggan berpindah sementara yang lain berkumpul untuk menyaksikan gunung berapi itu.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 12:26am
d