global

Ajal diserang anjing

Oleh Daily Mail

New Delhi: Seorang budak lelaki berusia empat tahun maut diserang anjing liar ketika bermain dengan kakaknya dan kanak-kanak lain.

Lebih teruk lagi dalam serangan kira-kira 30 minit di Guntur, selatan India itu, jiran yang melihat Praveen Kumar diserang 17 anjing liar hanya mengambil video kejadian tanpa cuba membantunya.

Mangsa parah digigit di leher, muka, tangan, dada dan kaki menyebabkannya separuh pengsan sebelum ditemui ibu bapanya Yesu Kumar, 32, dan Malleswari, 28, yang mengejarkannya ke hospital.

Malangnya, Praveen diisytiharkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Kanak-kanak Achyuta Rao berkata, pihaknya kini membantu ibu bapa Praveen yang mendakwa jiran mereka keluar beramai-ramai selepas mendengar jeritan anak mereka, tetapi cuma mengambil video.

“Sungguh tidak berhati perut. Tidak seorangpun membantu. Namun hakikatnya juga, mereka sendiri takutkan anjing berkenaan.

“Kejadian itu begitu tragis dan pihak berkuasa perbandaran mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Menurutnya, Malleswari memfailkan aduan di Majlis Perbandaran Guntur mengenai masalah anjing liar di kawasan itu, seminggu sebelum kejadian, namun tidak diendahkan.

Sementara itu, jurucakap hospital Dr DS Raja Naidu mengesahkan Praveen sudah tidak bernyawa ketika dibawa ke hospital.

“Kecederaannya parah dengan pelbagai luka akibat gigitan menyebabkannya kehilangan banyak darah,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 5:11am
d